03/09/2026
[DENGKUR KUAT SETIAP MALAM? JANGAN ANGGAP BIASA].
Dengkur bukan sekadar bunyi yang mengganggu orang sebelah.
Yang lebih kita risau ialah apabila dengkur itu datang bersama nafas yang terhenti-henti ketika tidur.
Keadaan ini boleh menjadi tanda obstructive sleep apnea (OSA), apabila saluran pernafasan tertutup berulang kali semasa tidur.
Setiap kali itu berlaku, paras oksigen boleh menurun dan otak terpaksa “terjaga” seketika untuk memastikan kita bernafas semula.
Kita mungkin tidur 7 atau 8 jam, tetapi tidur sebenarnya terputus berkali-kali tanpa kita sedari.
Sebab itu ada yang bangun pagi masih letih, sakit kepala, mengantuk sepanjang hari, mudah lupa dan sukar fokus.
Dalam jangka panjang, sleep apnea dikaitkan dengan masalah kognitif dan peningkatan risiko demensia.
Bukan bermaksud semua orang yang berdengkur akan mendapat demensia.
Tetapi dengkur yang kuat, kerap dan disertai episod berhenti bernafas tidak sepatutnya dianggap normal.
Lebih-lebih lagi jika pasangan pernah berkata:
“Awak tadi macam berhenti bernafas masa tidur.”
Itu bukan perkara kecil.
Dapatkan penilaian jika anda atau pasangan:
• berdengkur kuat hampir setiap malam
• nafas terhenti ketika tidur
• kerap tersentak, tercungap atau seperti tercekik
• sakit kepala ketika bangun pagi
• terlalu mengantuk pada waktu siang
• sukar fokus walaupun sudah tidur lama
Kadang-kadang orang yang tidur di sebelah kita adalah orang pertama yang sedar ada sesuatu yang tidak kena.
Jangan cuma suruh dia mengiring.
Periksa.
Public Health Malaysia
“Sumber / Kredit: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)”