11/03/2026
Dental Fluorosis - Apa Yang Anda Perlu Tahu?
Dental fluorosis ialah keadaan yang mempengaruhi rupa gigi, dan biasanya berlaku semasa zaman kanak-kanak ketika gigi kekal masih sedang terbentuk di dalam gusi.
Apakah punca dental fluorosis?
Dental fluorosis berlaku akibat pengambilan fluoride yang berlebihan semasa kanak-kanak. Ketika ini, gigi kekal masih sedang terbentuk, jadi pengambilan fluoride yang berlebihan boleh menjejaskan pembentukan enamel gigi.
Di Malaysia, punca yang biasa termasuk:
• Kanak-kanak tertelan ubat gigi semasa memberus gigi
• Kandungan fluoride yang tinggi dalam air minuman di sesetengah kawasan
Bagaimana rupa dental fluorosis?
Dental fluorosis boleh kelihatan seperti:
• Tompok atau garisan putih pada gigi
• Kesan kuning atau coklat dalam kes yang lebih teruk
Tahapnya berbeza-beza, daripada sangat ringan hingga lebih jelas.
Adakah orang dewasa boleh mendapat dental fluorosis?
Tidak.
Apabila gigi kekal sudah tumbuh sepenuhnya, dental fluorosis tidak akan berlaku pada usia dewasa, walaupun seseorang mengambil fluoride yang berlebihan selepas itu.
Adakah dental fluorosis berbahaya?
Kebiasaannya dental fluorosis tidak berbahaya dan tidak menjejaskan kekuatan atau kesihatan gigi.
Masalah utama biasanya adalah dari segi rupa gigi sahaja.
Adakah dental fluorosis kekal?
Ya. Dental fluorosis adalah perubahan kekal pada enamel gigi. Namun, terdapat beberapa rawatan pergigian yang boleh membantu memperbaiki penampilan gigi.
Pilihan rawatan:
1️⃣ Pemutihan gigi (Dental Whitening)
Rawatan pemutihan gigi boleh membantu mengurangkan kesan tompok coklat dan menjadikan warna gigi yang lain lebih cerah supaya hampir dengan warna tompok putih fluorosis.
Walaupun warna mungkin tidak menjadi 100% sekata, perbezaan warna biasanya akan jadi kurang jelas.
2️⃣ Rawatan ICON
ICON ialah rawatan minimally invasive yang boleh memberikan hasil estetik yang lebih baik untuk tompok putih fluorosis berbanding whitening sahaja.
3️⃣ Veneer
Untuk kes yang lebih serius dan memerlukan pembetulan warna, bentuk atau saiz gigi, veneer boleh dipertimbangkan.
Rawatan ini lebih invasif dan lebih mahal, tetapi boleh memberikan perubahan estetik yang ketara.
👶 Tips untuk ibu bapa:
Untuk kanak-kanak di bawah umur 6 tahun, gunakan ubat gigi sebesar kacang pea sahaja dan awasi semasa memberus gigi supaya mereka tidak menelan ubat gigi.
✨ Jika anda mempunyai tompok putih atau coklat pada gigi, dapatkan pemeriksaan dengan doktor gigi untuk mengenal pasti punca dan pilihan rawatan yang sesuai.
📞 WhatsApp: 014-388 1318
📍Klinik Pergigian Hiro Dental, Desa Melati 3, Nilai