10/09/2026
JELAJAH KESIHATAN BORNEO YANG BERHORMAT TIMBALAN MENTERI KESIHATAN
Marudi buka tirai Jelajah Kesihatan Borneo di Bahagian Miri
MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib meneruskan Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) di Bahagian Miri dengan mengadakan lawatan kerja pertamanya di bahagian ini ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marudi, Hospital Marudi, Klinik Kesihatan (KK) Marudi, dan Klinik Pergigian (KP) Marudi.
Dalam lawatan tersebut, beliau meninjau fasiliti dan kemudahan sedia ada, selain melihat secara dekat pengoperasian setiap fasiliti kesihatan tersebut serta mendengar penerangan mengenai cabaran yang dihadapi dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N76 Marudi, YB Datuk Dr Penguang Mangil.
Kehadiran YB Datuk Dr Penguang turut memberi ruang kepada YB Timbalan Menteri untuk mendengar secara langsung isu, cabaran dan keperluan kesihatan masyarakat Marudi daripada perspektif wakil rakyat tempatan.
Lawatan bersama rombongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) itu membolehkan keperluan sebenar di lapangan dikenal pasti serta tindakan susulan diselaraskan bersama pihak berkaitan, khususnya bagi memperkukuh keupayaan fasiliti kesihatan di Marudi di samping memastikan kebajikan petugas dan keselesaan pesakit terus terpelihara.