26/09/2026
📍 HARI KEDUA PROGRAM PEMERKASAAN KOMPETENSI PEGAWAI SAINS 2026
Pada hari kedua Program Pemerkasaan Kompetensi Pegawai Sains yang berlangsung pada 24 September 2026, para peserta telah menyertai aktiviti SCI-EXPLORE, iaitu sebuah aktiviti berkonsepkan Treasure Hunt yang mencabar minda, menguji kemahiran serta menggalakkan kerjasama berpasukan.
Para peserta yang hadir telah dibahagikan secara rawak kepada lima kumpulan bagi menyelesaikan satu misteri pembunuhan melibatkan watak fiksyen, Dr. Haris. Misi setiap kumpulan adalah untuk mengenal pasti pembunuh sebenar dengan mengumpul dan menganalisis bukti-bukti forensik yang diperoleh di setiap stesen yang disediakan di sekitar Kampus Kesihatan.
Setiap kumpulan perlu menyelesaikan pelbagai cabaran dan soalan yang merangkumi aspek keselamatan pekerjaan, kualiti dan piawaian diagnostik, uji minda, serta pengenalpastian alatan makmal. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kebolehan peserta untuk berfikir secara kritis dan analitikal, malah memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan saintifik dalam suasana yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Melalui SCI-EXPLORE, para peserta berjaya memperluaskan pengetahuan saintifik, meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan secara berkumpulan. Selain itu, aktiviti ini turut menjadi platform yang efektif dalam mempererat hubungan sesama peserta, memupuk semangat kerja berpasukan serta mewujudkan jalinan kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan Pegawai Sains.
Program diteruskan dengan Majlis Penutup yang menandakan berakhirnya Program Pemerkasaan Kompetensi Pegawai Sains 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan (PTI) dan Persatuan Pegawai Sains Universiti Sains Malaysia (PPSUSM).
Semoga segala ilmu, pengalaman dan jaringan profesional yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkasakan kecemerlangan Pegawai Sains pada masa hadapan.
✨ “Belajar, berfikir, bekerjasama dan meneroka. Itulah semangat SCI-EXPLORE yang menjadikan pembelajaran lebih bermakna.”
� � � � � � �